Muka Depan

Thursday, June 25, 2009

PESAWAT MIG-29N DILUPUS DENGAN CARA DIJUAL


KUALA LUMPUR: Pesawat MIG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal dilupuskan dengan dijual kepada syarikat yang berminat untuk membelinya, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata beberapa syarikat luar negara telah menyatakan minat untuk membeli pesawat tersebut bagi keperluan pertahanan negara masing-masing.

Namun katanya, pihak kementerian perlu berbincang dengan Kementerian Kewangan terlebih dahulu bagi mendapatkan kelulusan untuk melupuskan aset pertahanan negara itu.

"Ini kerana beberapa perkara lain perlu juga difikirkan seperti menetapkan harga sesebuah pesawat terbabit sebelum dijual," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengumuman penganjuran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2010 di sini hari ini.

Zahid berkata pesawat MIG-29N akan digantikan dengan pesawat pemintas yang lain bagi memperkuatkan TUDM.

TUDM kini memiliki 16 pesawat pejuang MIG-29N.

"Banyak aset dan peralatan pertahanan yang telah melampaui batas usia. Jadi kita mengambil langkah seperti ini dengan menggantikan aset-aset tersebut secara berperingkat bagi memperkuatkan pasukan pertahanan negara," katanya.

Mengulas laporan mengenai kapal Korea Utara yang disyaki membawa kargo yang terlarang berkaitan program nuklear dan senjata, yang dikatakan akan melalui Selat Melaka pada bila-bila masa, Zahid berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah bersiap sedia menghadapi perkara itu.

"Saya telah berbincang tentang perkara itu dengan Panglima Tentera Laut dan Pasukan Tentera Laut Malaysia kini sedang mengumpulkan maklumat melalui risikan bagi mendapatkan kepastian mengenai kapal berkenaan," katanya.

Agensi berita asing melaporkan bahawa kapal kargo ''Kang Nam'' yang mengibarkan bendera Korea Utara sedang menyusuri perlahan-lahan perairan Asia Timur menghala Selat Melaka.

Menurut laporan itu lagi, destinasi kapal itu ialah pelabuhan Thilawa di Myanmar dan ia dikatakan membawa senjata berteknologi rendah tetapi masih berbahaya serta senjata konvensional yang lain. - Bernama

No comments:

Post a Comment

SILA KLIK PADA KATEGORI UNTUK BACA ARTIKEL LAIN.

Artikel Digemari Oleh Pengunjung